Benteng nadi kekuatan Arsenal


LONDON - Bintang muda Arsenal mula mencuri tumpuan selepas kejayaan membelasah Sheffield United 6-0 pada saingan Piala Liga Rabu lalu.

Begitupun pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, kekentalan pertahanannya yang diketuai beberapa pemain senior telah memainkan peranan besar sehingga membolehkan The Gunners menduduki tangga teratas Liga Perdana England ketika ini.

Keputusan 1-1 antara Chelsea dan Manchester United hujung minggu lalu juga membolehkan Arsenal memimpin carta liga buat kali pertama musim ini.

Malah Liverpool turut mempersia-siakan peluang menjadi pendahulu apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Stoke City di Anfield.

Arsenal berada dalam situasi yang hampir sama musim lalu apabila mendahului dengan kelebihan lima mata di hadapan pencabarnya sebelum peluang mereka untuk memenangi gelaran semakin sukar.

Masalah kecederaan dikatakan menjadi antara faktor penyumbang kepada kejatuhan itu.

Namun kerapuhan benteng pertahanan Arsenal musim lalu memberi jawapan kepada Wenger kenapa dia perlu memperkukuhkan posisi itu sejak awal musim ini.

Sepanjang sembilan perlawanan dalam semua pertandingan, Arsenal hanya memboloskan tiga gol, dua menerusi sepakan penjuru dan satu daripada sepakan penalti.

"Ia masih lagi belum disedari tetapi kami hanya memboloskan dua gol daripada sepakan penjuru," kata Wenger menjelang aksi Liga Perdana menentang Hull City di Stadium Emirates hari ini.

"Dalam permainan terbuka, kami sangat sempurna."

Wenger yang menjual tonggak pertahanan, Philippe Senderos kepada AC Milan pada musim panas lalu mengakui, pemain antarabangsa Switzerland itu merupakan antara pemain yang menyebabkan kegagalan skuadnya musim lalu.

"Namun apa yang menjadikan saya gembira buat masa ini apabila kami mempunyai kombinasi yang baik di benteng pertahanan dan serangan," kata Wenger. - AFP

No comments:

Post a Comment

ADVERTISING / IKLAN


Copyright © 2008 teamP4U.blogspot.com-teamP4U